Feeds:
Posts
Comments

Archive for November, 2009

SOALAN

Apa pandangan ustaz berkenaan seseorang pergi haji dengan wang hadiah orang lain, saya rasa ustaz faham isu ini berkait dengan kenyataan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang membatalkan hasrat menunaikan haji pada tahun ini (2009) akibat pertikaian dan tuduhan rasuah. Tapi beliau masih bersedia menerima tajaan dari mana-mana pihak tahun hadapan.

JAWAPAN

Hukum asal bagi menunaikan haji dengan wang hadiah adalah HARUS tanpa sebarang khilaf. Walaupun seseorang digalakkan untuk menggunakan wang sendiri bagi menunaikan haji bagi memperolehi maksud haji yang menagih pengorbanan tenaga dari tubuh badan, minda dan wang.

Namun demikian, adalah tidak salah sama sekali sesiapa yang mampu untuk menghadiahkan sebahgain dari kurniaan kekayaannya bagi menaja sesiapa sahaja khsuusnya bagi mereka yang belum menunaikan haji untuk melunaskan rukun Islam yang kelima itu. Demikian juga diharuskan untuk menaja mana-mana alim ulama bagi tujuan yang sama.

Namun begitu, hukum asal akan berubah mengikut keadaan dan situasi. Persoalan niat adalah persoalan yang sukar dijadikan sandaran dalam hal ini kerana ia adalah urusan hati yang tersembunyi, diketahui secara tepat hanya oleh Allah swt.

Justeru, jika ada mana-mana ilmuan yang menjawab dalam persoalan ini bahawa semuanya bergantung kepada niat, sudah tentulah begitu di sisi Allah, namun pandang sisi manusia juga perlukan penejelasan yang lebih mendalam sebagai satu panduan. Menyatakan hukum dengan menynadarkan ia kepada niat semata-mata dibimabngi akan disilap fahami oleh orang awam sehingga menyalahgunakan hujjah tersbeut dalam tindakan yang terangan bersalahan dengan displin Islam, seperti berdua-duaan (berdating) di tempat sunyi kemudian mendakwa niat mereka baik dan sebagainya.

APA RASUAH ?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu difahami erti rasuah menurut istilah yang diterima pakai oleh perundangan Islam adalah :-

ما يُعطى لإبطال حق أو لإحقاق باطل

Ertinya : Apa-apa yang diberikan untuk membatalkan sesuatu yang benar dan membenar yang batil (melayakkan yang batil) ( Syarh as-Sunnah, Al-Baghawi, 10/88)

Namun demikian, takrif Rasuah menurut perundangan di Malaysia pula adalah lebih pelbagai dan boleh dibaca dari tulisan saya yang lalu di SINI .

JADI APA PANDUAN HUKUM DALAM HAL INI?

Bagi memahami perubahan hukum dalam hal ini, beberapa dalil dan situasi terpilih berikut boleh dijadikan rujukan.

•1) Hadiah buat seseorang berpangkat
من استعملناه على عمل فرزقناه رِزْقًا، فما أخذ بَعْدُ فهو غلولُ
Nabi Muhammad s.a.w bersabda : ” Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) ” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

•2) Sebuah Hadis :
استعمل النبي صلى الله عليه وسلم رجلاً من الأزد يُقال له ابن اللتبية على الصدقة، فلما قدم قال: هذا لكم وهذا أهدي لي، قال: فهلا جلس في بيت أبيه أو بيت أمه، فينظر أيُهدى له أم لا…. ثم قال: “اللهم هل بلغت ثلاثًا”
Ertinya : Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

“Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda

” Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)

“Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)

3) Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

“Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh,” Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” [Imam Malik, Al Muwattha’:1450].

4) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

“Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” [Riwayat Ahmad].

BAGAIMANA KES MENTERI BESAR KELANTAN?

Bagi kes yang melihatkan Menteri Besar Kelantan, seorang tokoh agama yang dihormati lagi dikashia oleh kebanyakan rakyat Kelantan dan usahawannya. Dari sudut rasuah menurut istilah Syariah, kemungkinan besar ia tidak berkait dengan ciri utamanya.

Berkaitan isu WANG KHIANAT pula, ini juga mungkin boleh TIDAK JATUH kepada beliau jika benar-benar semua hadiah yang diberikan itu tidak bersangkut paut dengan jawatannya tetapi hanya kerana dirinya adalah seorang ulama.

PENGECUALIAN sebegini memang wujud dari teks-teks fatwa silam sebagaimana berikut

يجوز لولاة الأمور والعُمَّال قبول الهدية ممن كان يهدي إليهم قبل توليتهم مناصبهم، كهدية من قريب أو صديق بشرط أن لا تزيد قيمة هذه الهدية عما كان يُهْدى إليهم قبل تولي مناصبهم ولا تكون لها أيَّة علاقة بأعمالهم.
Ertinya : Harus hukumnya bagi seseorang pemerintah dan pegawai (pentadbir) menerima hadiah dari pemberi hadiahkan itu bermula semenjak sebelum ia memegang jawatannya, seperti hadiah hubungan kerabat atau rakan, namun ia dengan syarat NILAI HADIAH YANG DIBERI (SELEPAS NAIK JAWATAN) ADALAH SAMA dengan sebelum naik jawatan, serta MESTILAH HADIAH TERSEBUT TIDAK MEMPUNYAI ikatan dan kaitan sama sekali dengan jawatannya ( kuasanya) [1]

Imam AN-Nawawi pula menegaskan :-

وقد بين صلى الله عليه وسلم في نفس الحديث السبب في تحريم الهدية عليه وأنها بسبب الولاية، بخلاف الهدية لغير العامل، فإنها مستحبة،
Ertinya : Nabi s.a.w telah menjelaskan dalam hadis yang sama (di atas) bahawa sebab pengharaman terima hadiah sebegitu adalah disebabkan oleh JAWATANNYA, berbeza dengan hadiah yang diberikan kepada bukan pegawai yang mana ianya adalah digalakkan. ( Syarah Sohih Muslim, 6/462 )

WALAUPUN BEGITU

Kesimpulannya, dalam kes Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz Nikmat, saya dan ramai lagi yakin bahawa ia tiada unsur rasuah mahupun wang khianat. Ini kerana saya yakin, walaupun beliau tidak memegang jawatan Menteri Besar dan duduk di rumah sahaja sekalipun, masih ramai yang berlumba-lumba untuk memberikannya hadiah tajaan Haji dan lain-lain disebabkan kelebihaan ilmu dan amalan yang terzahir pada diri beliau dan bukan pada JAWATANNYA, sehinggakan seliparnya juga dicuri kerana ‘berkat’. [2]

Namun demikian, kita tidak boleh memandang hanya kepada mereka yang bersangka baik dengan mereka sahaja. Apa yang perlu diteliti kini, semua menyedari bahawa beliau bukan semata-mata seorang tokoh agama, namun juga adalah tokoh politik dan ketua eksekutif pentadbiran bagi sebuah negeri.

Justeru, atas dasar tersebut, menurut penilaian sederhana saya, adalah LEBIH WAJAR untuk beliau menolak sebarang tawaran hadiah haji sedemikian selagi mana beliau masih memegang jawatan Menteri Besar. Pandangan saya ini berdasarkan banyak aspek dan sandaran, sebahagiannya adalah seperti berikut :-

1) Mengelak tohmah dan sangka buruk yang memudaratkan.

Sekiranya kita menyusuri perbahasan hukum-hukum Fiqh di dalam kitab-kitab utama yang silam, akan didapati bagaimana beberapa amalan yang HARUS pada hukum asalnya menjadi HARAM atau ditegah akibat daaripada wujudnya unsur ‘tohmah’ dan ‘kebolehan membawa sangkaan buruk’ ini dilarangan. Cukuplah kita ambil satu contoh dalam bab ini :

Imam Al-Kasani ketika membicarakan persoalan adab seorang qadhi (adab al-Qadha) menghurai :

ومنها : أن لا يقبل الهدية من أحدهما ، إلا إذا كان لا يلحقه به تهمة .

Ertinya : Sebahagian darinya (adab seorang qadhi) : Adalah tidak menerima hadiah dari salah seorang darinya (dua pihak yang sedang dibicarakan) kecuali jika ia tidak membawa kepada sebarang tohmahan (tuduhan buruk). (Bada’iq As-Sona’ie, 7/10)

Walaupun teks di atas bukan dalam konteks menteri besar atau pemerintah, namun maqasidnya jelas, ia berkait dengan mereka yang memegang kuasa. PEMEGANG KUASA MESTILAH DIYAKINI DAN DILIHAT BERSIH OLEH ORANG-ORANG YANG BERGANTUNG DI BAWAHNYA, jika dia seorang hakim atau qadhi seperti dalam teks di atas, dia mestilah diyakini TIDAK BERAT SEBELAH oleh kedua-dua pihak di dalam mahkamahnya.

Jika dia pemerintah, hal yang sama juga terpakai, IAITU DIA MESTI DIYAKINI BERSIH DAN MAMPU MEMBERIKAN KEADILAN KEPADA RAKYAT BERDASARKAN KELAYAKAN DAN BUKAN ATAS PENGARUH-PENGARUH SAMPINGAN SEPERTI KERABAT, HADIAH YANG DIBERI DAN SEBAGAINYA.

Justeru, dalam hal Menteri besar Kelantan, umumnya mungkin yakin dengan peribadi beliau dalam menjaga keadilan. Namun perlu diingat bahawa di bawah bidang kuasa seorang Menteri Besar, terdapat pelbagai pegawai, pelbagai jenis kuasa untuk menentu dan memutuskan keputusan khsuusnya melibatkan penganugerahan jawatan dan kontrak. Sebahagian besarnya memerlukan kepada nasihat dan rundingan pegawai-pegawai ini terlebih dahulu sebelum dilulus oleh Menteri Besar. Maka sejauh mana pula, orang ramai boleh yakin kepada pegawai-pegawai ini sebegaimana keyakinan mereka kepada Menteri Besarnya.?

Saya kira, ramai orang di bawah beliau tidak mampu menyaingi krebiliti dan ketahanan sehebat beliau. Orang ramai akan menggandaikan si pemberi hadiah akan dikenali oleh para pegawai beliau, yang sebahagiannya turut mempunyai kuasa tertentu, KEADAAN INI TIDAK DINAFIKAN AKAN MEMBAWA TOHMAHAN DAN SANGKA BURUK RAMAI.

Ia boleh membawa sangkaan ramai, BAHAWA PEMBERI HADIAH TAJAAN HAJI INI MENDAPAT LEBIH KEISTIMEWAAN BERBANDING YANG TIDAK MEMBERI HADIAH, Paling kurang, ia menjadikan syarikatnya LEBIH DIKENANG DAN DIINGATI OLEH PARA PEGAWAI. Hasilnya, mungkin lebih mudah untuk memperolehi tawaran kontrak tertentu.

Saya tidak menuduh, saya cuma menyedarkan bahawa ruang sangkaan dan tohmahan itu sangat boleh untuk terbuka. Atas asas itu, saya berpandangan AMAT WAJARLAH Menteri Besar Kelantan untuk MEMBATALKAN MENUNAIKAN HAJI TAHUN INI DENGAN BERBEKALKAN WANG DAN PAKEJ TAJAAN. Namun beliau tentunya boeh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan erus.

Selain itu, saya juga berpandangan tajaan haji di tahun-tahun akan mendatang juga wajar ditolak. Berikanlah sumbangan itu kepada alim ulama lain yang tidak berjawatan rasmi atau pembuat keputusan yang melibatkan wang dan kontrak, yang tidak mendatangkan tohmah dan fitnah dan sangka buruk.

Nabi s.a.w bukan sahaja melarang umatnya bersangka buruk, namun kita juga diajar oleh baginda nabi s.a.w untuk CUBA SEDAYA UPAYA MENGELAKKAN diri dari membuak ruang yang boleh menyebabkan diri kita disangka buruk. Itulah konsep sad az-Zara’i. (penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada haram oleh diri dan kepada diri).

2) Menolak kemudaratan adalah didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan

Ia jelas dari kaedah Fiqh yang cukup terkenal. Benar, menunaikan haji membawa kebaikan kepada penderma dan yang menerima, namun jika ia sehingga menyebabkan nama baik kerajaan pimpinannya rosak akibat dari itu. Wajarlah ia dijauhi. Tidak kiralah mudarat itu akibat sangka buruk, fitnah atau dusta, namun ia tetapi membawa mudarat yang jelas. Lihatlah sekeliling dan media yang sedang mencipta sesuatu buruk dan mudarat dalam isu ini.

3) Maslahat umum didahulukan ke atas maslahat individu (atau yang lebih kecil)

Benar, menerima tajaan hadiah haji itu adalah sebuah kebajikan dan pahala buat dipenderma, pahala dan ganjaran juga bagi yang menerima. Namun jika ia jelas boleh membawa mudarat seperti tuduhan rasuah yang sehingga boleh memudaratkan kemaslahatan yang lebih ramai, bukankah ia lebih baik dijauhi. Si pemberi masih boleh menderma kepada ilmuan lain bagi mendapatkan pahala yang diinginya.

AKHIRNYA

Kesimpulan jawapan saya kepada persoalan yang dikemukakan, SAYA AMAT BERSETUJU untuk Menteri Besar Kelantan menolak tajaan hadiah bagi mengerjakan Haji pada tahun ini, namun beliau masih boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.

Saya juga merasakan, TIDAK WAJAR untuk beliau menerima sebarang tajaan haji di tahun-tahun hadapan selagi beliau masih memegang jawatan Menteri Besar atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.

Sekdar itulah pendapat saya secara ringkasnya, ia bukan penentuan hukum, ia hanyalah sebuah pandangan dan nasihat yang boleh diterima atau ditolak oleh sesiapa sahaja. Perlu disedari juga, pandangan dan jawapan kepada soalan di atas bukan sahaja terpakai kepada Menteri Besar Kelantan ketika ini, namun bagi semua penjawat awam, swasta dan ahli politik dari mana-mana jua parti politik.

Sekian

Read Full Post »

KULLU ‘AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

“Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu” (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
“Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh” ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma’ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

“Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini” (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu..” (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

“Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : “dan berdoalah dan berkorban”. Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati” (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas’ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan” ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : “Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama”

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir.” (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya” (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN’, hubungan persaudaraan ‘terkorban’, atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

“tidak boleh !”

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan’ lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:

“Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya “tiada asalnya”.

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu ‘alam

Sekian

Doha, Qatar

27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)

Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H – Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H – Saudi)

KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )

Read Full Post »

Soalan
Saya ingin bertanya mengenai produk kosmetik yang mengandungi emas adakah menyerupai pemakaian susuk? setahu saya pemakaian susuk memerlukan seorang dukun atau bomoh. pada pandangan saya produk kosmetik sebegini macam tak sama dengan susuk tapi saya memerlukan penjelasan dari orang yang lebih arif.

Jawapan

Penggunaan botox dan susuk untuk menegangkan kulit dan susuk, telah diulas sebelum ini .

Namun, hari ini muncul satu lagi bentuk produk kecantikan wajah yang dikatakan semakin mendapat tempat di kalangan wanita khususnya. Saya kira soalan di atas adalah berkait dengan produk kosmetik baru tersebut.

Produk kecantikan kulit wajah yang menggunakan serbuk emas 24 karat sebagai salah satu dari unsur kandungannya.

Menurut maklumatnya, produk ini juga dikatakan sesuai bukan sahaja untuk wanita tetapi juga bagi semua peringkat umur baik wanita dan lelaki, ia dipromosi sebagai berkesan untuk perawatan kulit dan dapat membantu menghilangkan jerawat, jeragat, mengurangkan kedut, mencerahkan kulit yang kusam serta menjadikan kulit lebih halus, mulus dan berseri.

Laporan tersebut juga menyatakan antara kandungannya adalah serbuk emas 24 karat yang boleh menghasilkan nutrisi untuk kulit menjadi lebih berseri dan tegang.

Ia dating dalam pelbagai bentuk produk seperti sabun muka, tonik muka, pelembap, krim pelindung matahari dan krim malam yang berharga di antara RM75 hingga RM120 bagi setiap produk.

Antara cara menggunakannya pula ringkasnya seperti diterangkan dalam petikan artikel di bawah[1] :

Tak seperti facial pada umumnya, facial serbuk emas merupakan metode pembersihan kulit wajah dari kotoran dan komedo dengan bantuan serbuk emas 24 karat yang telah diubah menjadi gel, sehingga tak menimbulkan iritasi pada kulit maupun efek samping lainnya.

Demikian dikatakan Yohana Frida Chrisanty, pemilik sekaligus terapis Gracia Beauty Care yang berlokasi di Pangrango Plaza Lt.1 SA 25 kepada Jurnal Bogor, kemarin.
Dikatakan Santy, sapaan Yohana Frida Chisanty, butiran emas yang sudah menjadi gel tersebut dapat mencerahkan kulit wajah. “Jika melakukan facial dengan serbuk emas, kilau emas nan cantik bisa terpancar di wajah,” ujar istri Paulus Indra itu.

Ada beberapa tahap dalam pengerjaan facial serbuk emas. Pertama wajah dibersihkan dulu dengan menggunakan facial foam. Kedua, dilakukan peeling dengan menggunakan serbuk emas untuk mengangkat sel kulit mati. “Di salon ini, serbuk emas digunakan pada peeling, vitamin, scrub, dan masker wajah,” ungkapnya.

Setelah proses peeling selesai, wajah diberi scrub sambil diberi pijatan agar kulit wajah lebih halus. Untuk proses peeling dan scrubing masing-masing dilakukan selama sepuluh menit. “Usai dibersihkan dari scrub, wajah akan diberi uap air kurang lebih selama sepuluh menit untuk membuka pori-pori kulit sehingga terjadi detoksifikasi atau pengeluaran racun

ADAKAH IA SAMA DENGAN SUSUK?

Memang benar, susuk mempunyai campur tangan ilmu hitam, mantera seperti sihir. Namun perlu diingat susuk bukan semata-mata menjadi haram hanya disebabkan oleh campurtangan ilmu hitam tersebut, tetapi juga kerana salah guna metal bernilai (precious metal) emas untuk tujuan yang tidak diharuskan oleh Islam dan pelbagai sebab lain.

Jika demikian apakah status hukum bagi produk yang menggunakan serbuk emas ini?

Bagi mengetahui status hukumnya, terdapat beberapa persoalan pokok yang perlu dilihat iaitu :-

1) Isu penggunaan emas sebagai hiasan.

2) Penggunaan emas untuk perubatan.

3) Adakah terdapat unsur mengubah ciptaan Allah demi kecantikan ?

4) Status halal kandungan produk yang lain.

5) Mana lebih dominan, untuk kecantikan atau perubatan?

6) Kos produk yang jatuh dalam kategori membazir?

7) Isu menutup tanda ketuaan secara salah.

8) Status kesan sampingan dan mudarat kepada wajah dan tubuh.

9) Penggunaannya untuk lelaki.

Itulah antara item yang perlu difahami dalam melihat pandangan Islam dalam penggunaan serbuk emas ini. Tanpa kajian menyeluruh berkenaan kesemua item di atas, sukar untuk menentukan hukum penggunaan serbuk emas ini dengan tepat. Untuk membincangkan semua isu di atas ia bakal mengambil masa yang panjang untuk kajian, huraian dan penulisan. Oleh itu, saya tidak akan menyentuh kesemuanya.

Jawapan ini hanyalah memulakan perbincangan hukum dalam hal ini, saya akan sertakan beberapa point secara ringkas serta padat, tidak memberatkan dan tidak pula terlalu ilmiah, terhadap beberapa perkaar di atas. Walaupun ia mungkin belum cukup kuat untuk membuat satu kesimpulan hukum, namun ia boleh dijadikan panduan bagi mereka yang ingin mendalamkan lagi perbincangan.

1) ISU PENGGUNAAN EMAS SEBAGAI HIASAN.

Nabi s.a.w menegaskan menggunakan emas sebagai perhiasan selain pemakaian di tubuh wanita, adalah diHARAMKAN bagi lelaki dan wanita:-

لَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ ، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ

Ertinya : Jangan kamu minum di dalam bekas emas dan perak, kerana cara itu adalah amalan mereka (kafir) dan untuk kamu kelak di akhirat sahaja ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Hasil daripada hadis ini, majoriti ulama berfatwa bahawa penggunaan emas sebagai hiasan seperti di pinggan, mangkuk, sudu, tepak sirih, tombol pintu, buku, al-Quran, jam, pen dan sebagainya adalah DIHARAMKAN bagi lelaki sepenuhnya.

Namun demikian khas untuk wanita, apa sahaja perhiasan yang digunakan di tubuhnya seperti rantai, gelang, cincin, jam emas adalah dibenarkan.

As-Syeikh Ibn Nujaim Al-Hanafi berkata :-

إذا ثبت – يعني التحريم – في الشرب : فالأكل كذلك ، والتطيب ، لاستوائهم في الاستعمال ، فيكون الوارد فيها يكون واردا فيما هو في معناها ، ولأنها تنعم بتنعم المترفهين والمسرفين وتشبه بهم
Ertinya : Apabila terbukti haram untuk minum darinya (emas), maka makan juga termasuk di dalamnya, demikian juga berhias dengannya disebabkan sama taraf penggunaannya, maka apa yang disebutkan (oleh hadis) itu akan terkena bagi semua yang sama ertinya dengannya, disebabkan semuanya memberi sifat kemewahan berlebihan, pembaziran dan menyerupainya.[2]

Ibn Qayyim pula menegaskan :-

وهذا التحريم لا يختص بالأكل والشرب ، بل يعم سائر وجوه الانتفاع ، فلا يحل له أن يغتسل بها ، ولا يتوضأ بها ، ولا يدهن فيها ، ولا يكتحل منها ، وهذا أمر لا يشك فيه عالم
Ertinya : Pengharaman ini tidak terhad kepada makan dan minum ( di dalam bekas emas ) sahaja, malah ia juga termasuk segala jenis bentuk penggunaannya, maka tidak halal mandi darinya, berwudhu, meletak lemak atau minyak masak padanya, bercelak darinya, ini semua perkara yang tidak ragu lagi akan hukum haramnya. [3]

Syeikh al-Bahuti al-Hanbali dan Ibn Mufleh menambah lagi penggunaan emas yang diharamkan seterusnya seperti di lampu, katil, kerusi, kasut, sudu, pintu, atap dan sebagainya.[4]

Walaupun semua isu di atas memperincikan perihal penggunaan emas sebagai perhiasan, bagaimana pula jika wanita menggunakannya untuk perhiasan di wajahnya?

Jawapnya, ia adalah halal, namun bagaimana pula jika emas tersebut meresap melalui penggunaan gel atau krim beserbuk emas ke dalam tisu wajahnya?. Adakah ia masih termasuk dalam kategori berhias yang dibenarkan atau tidak?

Kerim atau gel itu akan menjadi haram bagi lelaki disebabkan sabdaan Nabi :-

عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم: أخذ حريرا فجعله في يمينه، وأخذ ذهبا فجعله في شماله، ثم قال: إن هذين حرام على ذكور أمتي
Ertinya : Dari Ali bin Abi Talib r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengambil sutera dan diletakkan di tangan kanannya, dan mengambil emas di tangan kirinya lalu berkata : kedua-dua item ini adalah haram untuk lelaki (sebagai perhiasan) di kalangan umatku ( Riwayat Abu Daud : sanad yang baik)

Namun bagi wanita, di sana mungkin akan wujud ilmuan Islam yang berpendapat ianya adalah diharuskan kerana ia masuk tergolong di dalam kategori perhiasan fizikal wanita. Cuma sedikit perbezaannya, yang disepakati harus di kalangan ulama adalah perhiasan luaran, tetapi dalam kes ini, ia telah menjadi perhiasan dalaman.

2) PENGGUNAAN EMAS UNTUK PERUBATAN

Dalil yang paling jelas dalam hal ini adalah hadis berikut :-

عن عرفجة بن أسعد: أصيب أنفي يوم الكلاب في الجاهلية فاتخذت أنفاً من ورق فأنتن علي فأمرني رسول الله صلى الله عليه وسلم أن أتخذ أنفاً من ذهب
Ertinya : Daripada ‘Arfajah Bin As’ad : Hidungku telah tercedera ( terpotong) di hari peperangan Al-Kulab maka aku meletakkan kertas bagi menutup ruang hidung, namun ia berbau busuk lalu Nabi s.a.w telah mengarahkanku agar mengambil emas sebagai hidung (palsu). [5]

Jelas dari hadis di atas, diharuskan menjadikan emas sebagai salah satu alat bagi tujuan perubatan. Namun demikian, perlu diingat bagaimana keharusan yang diberikan oleh nabi kepada sahabat ini adalah di ketika keperluan yang sangat mendesak, iaitu ketiadaan hidung dan ia sudah berbau. Ditambah pula di zaman itu, tiada kemudahan dan kepakaran untuk menggunakan bahan lain seperti plastik dan lain-lain yang lebih sesuai. Nescaya di ketika wujudnya bahan lain yang boleh berfungsi dengan berkesan, ia adalah lebih baik berbanding menggunakan berbanding yang lain.

Disebutkan oleh para ulama

رخصّ النبي صلى الله عليه وسلم في استعمال الذهب في التداوي حالة الضرورة كستر عيب أو إزالة تشوه.

Ertinya : Nabi memberikan keringanan untuk menggunakan emas dalam hal perubatan di ketika terdesak seperti untuk menutup rasa aib yang teruk dan membuang kecacatan.

Juga telah diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Ahmad, bahawa dibenarkan untuk mengikat gigi dengan emas atau bergigi emas.[6]

Kaitannya dengan isu serbuk emas, jika benar ia adalah untuk tujuan perubatan, persoalannya adakah di sana tiada cara neutral menggunakan herba, tumbuhan dan lain-lain yang lebih murah? Adakah wajah si wanita dan lelaki itu terlalu teruk sehingga memerlukan penggunaan serbuk emas ini atau ia hanya tergolong dalam PENAMBAHAN kecantikan dan bukan perubatan?.

3) ADAKAH TERDAPAT UNSUR MENGUBAH CIPTAAN ALLAH DEMI KECANTIKAN ?

Telah jelas daripada dalil AL-Quran dan Al-Hadis, sebarang pengubahan ciptaan Allah adalah diharamkan.

Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik.

Dalil yang mengharamkan adalah ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa’ iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

“Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.’

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya

Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Terdapat juga hadith yang menyebut :

لعن الله الواشمات والمستوشمات، والنامصات والمتنمصات، والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله
Ertinya : “Allah melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya dan yang menjarangkan giginya UNTUK TUJUAN KECANTIKAN, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar Al-Asqolani berkata

فْهَم مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَة مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْن فَلَوْ اِحْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ
Ertinya : tindakan itu tercela dan haram bagi sesiapa yang melakukannya untuk kecantikan, namun kiranya ia memerlukan disebabkan oleh perubatan contohnya, ia adalah diharuskan [7]

Imam An-Nawawi pula sebelum itu mengulas :

وَهَذَا الْفِعْل حَرَام عَلَى الْفَاعِلَة وَالْمَفْعُول بِهَا لِهَذِهِ الْأَحَادِيث , وَلِأَنَّهُ تَغْيِير لِخَلْقِ اللَّه تَعَالَى , وَلِأَنَّهُ تَزْوِير وَلِأَنَّهُ تَدْلِيس Ertinya : Perbuatan ini haram ke atas pelanggan yang membuat dan pihak yang menyediakan khidmat berdasarkan hadis ini, dan KERANA ia adalah pengubahan ciptaan Allah, dan KERANA ia juga satu perdayaan dan penipuan. (Syarah Sohih Muslim)
Apa kaitan dengan serbuk emas? Sebagaimana telah disebutkan, perlu diteliti sama ada penggunaan krim atau gel itu akan menghilangkan kedutan kulit normal manusia, sehingga kulit yang biasa kedut pada umur tertentu tidak lagi berkedut secara tidak tabie, sama seperti pembedahan plastik, susuk dan botoks. Jika perubahan itu berlaku secara tidak normal melalui yang mengandungi produk serbuk emas itu, ia akan jatuh HARAM. Jika ia berjaya dibuktikan produk itu hanya meningkatkan kesiahatan kulit secara normal dan sihat, tatkala itu ia akan dikira HARUS.

Proses menentukan status ini, mestilah dirujuk dan dibincang dengan para doctor perubatan dan ahli sains yang berkaitan.

4) MANA LEBIH DOMINAN, UNTUK KECANTIKAN ATAU PERUBATAN?

Ini perkara yabg sangat perlu di kenal pasti, dan boleh sahaja memberikan status hukum yang berbeza mengikut individu dan situasi. Bermakna, bagi sesetangah indiivdu yang wajahnya mempunyai jerawat dan kerosakan kulit yang terlalu teruk, penggunaan ini tentunya menjadi HARUS kerana ia tergolong dalam hal perubatan. Namun begitu, bagi sesetengah indivud lain yang kulitnya hanya berkedut normal, atau sedikit kurang licin, tatkala itu penggunaan produk ini menjadi amat syubhat dan boleh tergolong di dalam katgeori mereka yang tidak bersyukur dengan kurniaan Allah serta ingin mengubahnya bagi menambah kecantikan.

5) KOS PRODUK YANG JATUH DALAM KATEGORI MEMBAZIR?

Wang dan harta adalah amanah Allah ke atas diri. Firman Allah swt :

“Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi. Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Luqman: 26)

Firman Allah lagi yang menunjukkan semua harat ini adalah milik Allah :

وَآتُوهُم مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ

Ertinya : dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu ( An-Nur : 23)

Nabi s.a.w bersabda :

إن الدنيا حلوة خضرة. وإن الله مستخلفكم فيها، فينظر كيف تعملون
Ertinya : Sesungguhnya dunia ini penuh indah dan hijau, dan Allah swt melantik kamu sebagai pengusahanya dan sentiasa melihat bagaimana kamu perlakukan (Riwayat Muslim)

Sebarang penggunaan harta mestilah dilihat kepada keperluan yang bertepatan dengan neraca yang diredhai oleh Allah selaku pemilik seluruh harta. Kita hanya memegang amanah Allah ini. Justeru, membelanjakan wang yang banyak untuk berlebihan dalam kecantikan fizikal sehingga melupakan tempat jatuhnya pandangan Allah iaitu hati dan amalan, adalah tergolong tercela menurut pandangan Islam.

6) MENUTUP TANDA KETUAAN SECARA MENYONGSANG ARUS.

Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.

Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :

“Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam” (Shohih Muslim)

Hadith larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam.

Seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki ketika kulit mereka sudah memperlihatkan tanda-tanda ketuaan, maka bagi mengekalkan rupa yang muda, mereka melakukan proses botox, pembedahan plastik dan lebih teruk lagi susuk dengan sihir.

Kini, muncul apa yang dinamakan oleh sebahagiannya sebagai susuk moden, berupa kosmetik gel dan krim yang mempunyai serbuk emas. Jika krim ini berfungsi secara menyongsang arus normal, ia pasti akan tergolong juga di dalam kategori HARAM tanpa syak lagi. Ia disebabkan unsur penipuan yang perdayaan umur yang berlaku.

KESIMPULAN

Sebagaimana yang saya sebutkan diawal artikel, tulisan ini sahaja tidak cukup untuk menentukan status hukum yang tepat bagi penggunaan kosmetik yang mengandungi serbuk emas, namun demikian, saya mengharapkan agar tulisan ringkas dan padat ini dapat memberi sedikit gambaran akan beberapa perkara penting yang akan dinilai oleh para ulama dalam mengenalpasti pendirian Islam dalam perkara baru seperti ini.

Sebarang perbincangan dan maklumat boleh dikongsi di ruangan komen. Semoga ia dapat memandu kita ke arah kehidupan yang lebih diredhai oleh Allah swt.

Sekian,

Read Full Post »

Zaptor

zaptor 1

Price: RM 85

Boleh dipasang pada motor atau kereta

:: The ecu can give the best judgment if & only if the signal is accurate, which affects the electrical flow of the system. Hence a stable & powerful electrical system in the car and motorcycle will ensure best torque and response at all times.

:: This voltage stabilizer with its circuit can ensure full range RPM torque and improved acceleration both in track and street use. It will also enhances audio fidelity, lamps and other equipments to their maximum potential.

Benefits
-Increase torque
-Improve fuel economy
-Improve engine response
-Stabilizes idling
-Quick engine start
-Lesser engine noise
-Increase headlight brightness
-Improve battery life
-Improve battery life
-Improve audio quality
-Wider filter spectrum
-Waterproof

::The system stores an electrical energy at all times to provide stable and constant electrical energy whenever there is voltage drop across the supplies
when power is needed from any parts of the car

::The system can filter out electrical noise and eliminate irregular current flow can in the car electrical system.

:: Its very easy to install..just connect the red wire to battery positive and black wire to battery negative

– Barang ader warranty 18 bulan = 1 tahun 6 bulan (xtermasuk fius).. Kalo rosak leh tuka baru!
– Warranty card akan diberikan

Price: RM85

-nama penjual : Nazrin
– contact number : 017-2388512
-nama penjual acip-0177620194
– COD : Seluruh Lembah Klang

– POS : Tambah RM5

Read Full Post »

Dalam penulisan ini, saya ingin menyentuh 3 perkara berkenaan hari raya yang sering dilakukan oleh umat Islam. Apakah pandangan Islam terhadap Mercun, pemberian duit raya dan ucapan ‘Maaf Zahir Batin’?.

Main Mercun
Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 4 (2) memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Dari pandangan Islam pula saya kira amat mudah untuk diketahui hukumnya. Semua perkara yang membawa mudarat kepada diri dan orang lain adalah diharamkan di dalam Islam.
Secara ringkas, antara sebab yang menjatuhkan bermain mercun dalam kategori haram adalah :-

1) Mudarat Kepada Diri

Ini tidak perlu lagi dihuraikan. Cukup laporan akhbar ini sebagai fakta
2) Mudarat Orang Lain

Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya selain bahaya letupannya. Jelas ia termasuk dalam perkara yang diharamkan. Tahap pengharamannya lebih dahsyat apabila ia dimainkan di tepi-tepi surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat.

Demikian juga apabila ia ditujukan ke arah rumah dan individu tertentu dengan niat ingin berseronok-seronok. Saya boleh menggangap ia terdapat persamaan dengan cubaan membunuh, kerana bakaran api itu boleh menyebabkan sebuah rumah terbakar atau seseorang kanak-kanak atau bayi hilang nyawanya.

Nabi s.a.w bersabda :

من ضَارَّ أَضَرَّ الله بِهِ وَمَنْ شَاقَّ شَاقَّ الله عليه
Ertinya : Barangsiapa yang membawa mudarat maka Allah akan memudartkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyuasahkannya pula” (Riwayat Abu Daud, no 3635, 3/315; Ahmad, 3/453 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ; Syeikh Syuaib, Hasan Bi Syawahidi)

Saya masih ingat kisah yang disiar oleh akbar tahun lepas, bagaimana mercun masuk dalam buaian seorang bayi.

Baca juga kisah ini “Dalam pada itu, ibu Mohd. Syafiq, Saripah Ali, 43, berkata, anaknya sedang mengangkat kain di kawasan jemuran asrama kira-kira pukul 6 petang apabila sebiji mercun bola dilemparkan ke arahnya.

‘‘Mercun yang dilempar ke arahnya terkena di bahagian bawah mata kiri menyebabkan matanya cedera,” katanya”.

Baca Di Sini

3) Pembaziran

Ia dikira satu pembaziran juga kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati letupan yang tiada tentu arahnya.

Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelajkan sebaiknya dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun.

Islam inginkan kita menjadi orang yang mampu mengurus kewangan dengan bijak di bulan Ramadhan. Malah inginkan kita memperbanyakkan sedeqah terutama di akhir Ramadhan. Bukannya membeli mercun yang haram hukumnya.

Saya kira, tidak perlu dihurai panjang isu ini disebabkan kejelasannya.

Sebagai kesimpulan, ibu bapa yang membelikan mercun ini tidak terlepas dari dosa pada pandangan Islam. Mereka sepatutnya bersifat tegas dalam hal ini melarang sebarang penglibatan anak-anaknya terutamanya jika mereka terjebak dalam membuat mercun sendiri seperti mercun buluh dan lain-lain.

Isu Duit Raya

Isu memberikan duit raya kepada kanak-kanak terdapat pro dan kontranya. Bagi saya, hukumnya berubah-ubah mengikut keadaan pemberi dan penerima.

Perspektif Baik :

Jika dilihat dari persepktif baik, ia dapat memupuk semangat dan sifat menderma sebagai bukti hasil keberkatan yang diperolehi dari tarbiyah Ramadhan.

Malah, sebenarnya ia lebih baik jika di berikan sebelum tamatnya Ramadhan, ia bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a yang menyebut :-

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير , وكان أجود ما يكون في رمضان , حين يلقاه جبريل , وكان يلقاه كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ , يعرض عليه النبي القران , فإذا لقيه جبريل كان أجود بالخير من الريح المرسلة
Ertinya : “Adalah Nabi SAW adalah manusia yang paling bagus dan pemurah dengan segala jenis kebaikan, dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadhan, dimana ketika bertemu Jibrail yang datang di setiap hari di bulan ramadhan membentangkan (menyemak) al-Quran dari Nabi SAW, apabila ditemui Jibrail maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angin yang bertiup” (Riwayat Al-Bukhari)

Justeru, sekiranya ia dapat diberikan dalam bulan Ramadhan sebagai sedeqah sudah tentu keberkatan pahalanya berlipat kali ganda berbanding memberikannya di bulan syawal.

Oleh kerana kemungkinan pada hariraya sahaja kebanyakkan kita dapat berkumpul sekeluarga, mungkin kerana itulah akhirnya duit sedeqah kepada ahli keluarga yang eloknya diberikan di akhir Ramadhan itu menjadi ‘duit raya di hari raya’.

Saya harap masyarakat yang mengamalkannya akan memperbetulkan niat mereka dengan memasang niat ia sebagai sedeqah dari bulan Ramadhan dan bukan sekadar adat hari raya semata-mata.

Perspektif Negatif

Ia boleh menjadi amat buruk dan sewajarnya di jauhi apabila : –

1) Seseorang memberikannya dengan niat ingin menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan menayangkan jumlah yang diberinya dan ada pula yang terpaksa berhutang demi memberikan ‘duit raya’. Ini tidaklah di benarkan sama sekali menurut Islam.

Justeru, perbezaan niat seseorang menentukan samada pemberian duit rayanya menjadi ibadat atau tidak.

2) Terdapat juga ‘duit raya rasuah’ yang mungkin diberikan oleh ahli perniagaan kepada pegawai tertentu bagi mempengaruhi keputusan pegawai itu di kemudian hari. Ia adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam Islam.

3) Disebutkan juga, duit raya sebegini boleh membawa kesan negatif kepada kanak-kanak yang bersifat materialistik dan mengkritik individu yang tidak memberikan duit raya kepada mereka.

Ini boleh menjadikan kanak-kanak lebih bersifat rakus dengan harta dunia di setiap kali tiba hari raya. Pandangan ini ada benarnya.

Walaupun demikian, pada hemat saya faktor sebegini sukar untuk menjadikan seluruh amalan pemberian duit raya sebagai haram. Bagi mengelakkannya dari jatuh kepada haram, si pemberi mestilah mengingatkan penerima agar bersyukur dengan apa jua jumlah yang didermakan dan berhati-hati dengan keseronokan sementara dari fitnah bernama ‘duit’ dan ‘wang’ ini.

Jika seseorang itu lebih cenderung kepada pendapat ianya haram. Wajiblah ia untuk menahan diri dari memberikan sebarang duit raya kepada kanak-kanak. Tiada ertinya ia mengatakannya haram, dalam masa yang sama ia sendiri masih memberikannya sewaktu hariraya.

Justeru, pada hemat saya, pandangan membenarkan dengan syarat-syarat tertentu adalah lebih ringan dan mampu dilaksanakan oleh masyarakat hari ini yang telah membudayakannya sebagai amalan tahunan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah ‘adjust’ niat, dan beberapa hal lain agar pemberian itu menjadi sebuah sedeqah yang berguna buat ahli keluarga terdekat, pemberi dan penerima.

4) Bagi mereka yang amat sensitif isu halal haram, saya kira adalah amat terpuji jika dapat dipastikan sampul duit raya itu bukan dari mana-mana bank dan institusi kewangan konvensional yang haram.

Ini kerana ia boleh dianggap mempromosikan perbankan Riba yang amat haram. Ia jelas termasuk dalam larangan Allah s.w.t dan Nabi s.a.w dari memberikan bantuan dan promosi kepada perkara yang haram.

Sebuah hadis menyebut :

لعَنَ رسولُ اللَّهِ في الخمرِ عشرةً عاصِرَها ومُعتصِرَها وشارِبها وحامِلَها والمحمولَةَ إِليهِ وساقيَها وبائعهَا وآكلَ ثمنِها والمشتَري لها والمشترى لهُ
Ertinya : Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya.” (Riwayat Ibn majah, 2/1122 ; Tirmidzi, Hadis Gharib ; Albani : Hasan Sohih)

Keterangan : Walaupun hadith ini menyebut bab arak, tetapi ia merangkumi item haram yang lain berdasarkan kepada kaedah Qiyas dalam Islam.

Sebuah Hadith lagi : ertinya

قال لَعَنَ رسول اللَّهِ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ قال قلت وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ
Ertinya : “Dilaknati Rasulullah SAW pemakan riba, dan pemberi makan, saksinya dan penulisnya” ( Riwayat Abu Daud, no 3333, At-Tirmidzi & Albani : Hasan Sohih )

Justeru, jika ia berlaku juga, saya bimbang pahala hasil sedeqah duit raya itu pastinya tergugat. Ia sama seperti memberi duit raya menggunakan sampul duit yang tertulis jenama arak. Apa pandangan anda?.

Ucapan Maaf Zahir Batin

Ucapan Maaf Zahir Batin sering diberikan oleh rakan dan taulan sempena hariraya ini. Amalan maaf bermaafan asalnya adalah bersifat ‘neutral’ dan boleh diteruskan di hari raya ini asalkan ungkapan kemaafan yang dipinta dan yang diberi adalah beserta penyesalan yang benar atas segala kesilapan yang dilakukan.

Ia selaras dengan objektif Ramadhan bagi mencapai keampunan Allah SWT sebagaimana di fahami dari Hadith :

جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ،
Ertinya : “Datang kepadaku Jibrail lalu berkata : ” Celaka ke atas seorang hamba yang sempat bertemu Ramadhan dan keluar darinya tetapui tidak mendpaat keampunan terhadap dosa-dosanya, lalu aku (Rasulullah s.a.w) berkata : Ameen. (tirmidzi, ibn hibban, Ahmad, Ibn Khuzaymah, Al-Hakim & disetujui oleh Az-Zahabi, Abu Yu’la, At-Tabrani dalam Al-Kabir & al-Awsat, At-Tayalisi, Al-Bukhari dalam Adab Al-Mufrad, Ibn Al-Ja’d ; Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644)

Bagi seseorang yang berdosa dengan Allah SWT, amat diharapkan beroleh keampunan di bulan Ramadhan ini.

Bagaimanapun, jika melakukan dosa dari jenis kesalahan kepada manusia lain seperti mengumpat, memfitnah, memukul, merendahkannya, mencuri duitnya dan lain-lain. Seolah-olah keampunan yang sepatutnya diperolehi dari ramadhan tergantung kepada keampunan manusia yang pernah dizalimi ini.

Tatkala itu, mangsa sahaja yang mampu mengampunkan orang yang menzaliminya.

Pada hemat saya, objektif mendapatkan keampunan Allah sukar untuk dicapai sebaiknya jika tidak ada proses maaf bermaafan di hujung ramadhan atau di awal Syawal.

Mengambil peluang cuti dan bertemu di hari raya sebagai waktu yang sesuai untuk meminta ampun. Oleh kerana itu, saya secara peribadi tidak nampak sebarang masalah dalam amalan ini selagi mana ia dilaksanakan dengan ilmu dan ikhlas. Wallahu ‘alam.

Sekian

Read Full Post »

Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9′ dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-

المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram’, cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :

اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني
Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua.

Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.

Sekian,

Read Full Post »

Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.

Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.

Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.
Sebagai contoh:

•tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi, •menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,•membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki, •tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi. Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.
Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid’ah, sesat, ahli bid’ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.

Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :

” Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu”

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.
BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza’ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :

Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :

Ertinya : “JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya”[1]

Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه
Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

•a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
•b) Furu’ Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.

Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.

Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,

Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,

“Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya”

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati’ yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh’ yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh’, ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?

Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.

Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,

Mursyidul Am PAS

Menteri Agama,

Menteri Besar Selangor,

Ketua Pemuda UMNO,

Dibincang di dalam Parlimen Malaysia

Ketua Pemuda PAS,

Bekas YDP YADIM,

Tajuk besar beberpaa buah akhbar perdana,

Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

“Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? ” tanya seorang kenalan di UK

“Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI”

“Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh’ seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT” Tegas saya lagi menjelaskan.

Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:

“Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan”

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة
” Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم
Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه
Ertinya : “Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan”

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad’u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )

Sekian

Read Full Post »

Older Posts »